cara hidup prof diraja ungku abd aziz  

Posted by agHoo in

diambil dari MRSM Mersing Online

Sedari kecil Prof ungku menjadi ikon kepada pemikiran yg melangkaui zaman.Banyak sangat jasa dan idea beliau.Nak disebut tak terkira banyaknya.Antara gagasan beliau adalah penubuhan Tabung Haji iaitu satu cara mendidik masyarakat Melayu zaman dulu menyimpan di bank.Orang Melayu hanya bersedia menyimpan di institusi kewangan yang ada kaitan dengan Islam sahaja.

Ada lagi yang hebat. Beliaulah manusia yg mula-mula mengamalkan berjogging di waktu pagi di Malaya. Beliau melakukannya sejak menjadi Naib Canselor UM di awal 60an (kalau tak silap). Masa tu senaman kardiovaskular melalui jogging belum terkenal di mana-mana tempat di dunia. Setiap pagi beliau akan berjogging mengelilingi kampus UM. Ramai yang mengatakannya gila dan buang tebiat. Selepas puluhan tahun barulah pakar-pakar senaman mengesyorkanber jogging yang menjadi amat popular sehingga kini. Pada tahun 1980an Prof Ungku juga menjadi penulis tetap di akhbar STAR dan saya salah seorang pembaca tetap ruangan beliau yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Saya cuba membaca dan memahaminya selama berbelas tahun bermula di tingkatan satu di MRSM Muar. Banyak buah fikiran beliau amat 'advanced' dan berbeza dengan cendikiawan-cendikiawan pada masa tersebut.

Satu lagi kehebatan Pak Ungku adalah teori pemakanan beliau. Setiap pagi sejak muda beliau mengamalkan minum jus nenas ketika perut kosong sebelum sarapan. . Prof Ungku percaya bahawa jus buah mampu mengubah dan mengekal kesihatan badan yang baik. Teori beliau terbukti benar apabila dunia sains membuktikannya selepas puluhan tahun bahawa jus buah mengandungi asid dan serat sangat berkesan mencuci usus dan memperbaiki kualiti darah.Sebaliknya masyarakat Melayu sangat 'taboo' dengan memakan nenas ketika perut kosong.Boleh merosakkan perut menurut kepercayaan kita. Beliau menolak semua kepercayaan Melayu yang bertentangan dengan bukti saintifik. Mujurlah masyarakat kita mengamal memakan kurma dan kismis yang digalakkan oleh ajaran Islam.

Ketika mana pemikir-pemikir Melayu percaya yang punca kelemahan pelajar Melayu adalah kerana kurangnya motivasi, Prof ungku Aziz berfikir sebaliknya. Beliau berkata bahawa punca sebenarnya ialah pemakanan iaitu kurang protein (yang membina sel saraf).Itu idea Pak Ungku pada tahun 1970an dan ramai tak ambil pusing. Selepas lebih 20 tahun, terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa jenis asid amino yang diambil oleh ibu, bayi dan kanak-kanak menentukan kapasiti otak iaitu keupayaan menerima jumlah info yang banyak, pelbagai dan memprosesnya. Ada di antara asid amino yang diambil waktu sarapan (sebagai contoh) dikatakan memberi kesan kepada otak selepas beberapa jam. Ramai orang Melayu sejak dulu dan mungkin sampai sekarang beranggap bahawa anak-anak kecil yang berumur lebih 3 tahun dan masih aktif meminum susu dikira memalukan dan mereka akan diejek oleh orang yang lebih dewasa.Persitiwa ini berlaku kepada anak-anak saya beberapa kali di Mersing. Walhal susulah protein terbaik untuk saraf dan otak. Lebih malang ibu-ibu yang mengandung dan menyusukan anak cuba mengelak dari meminum susu (takut gemuk). Fenomena ini berbeza kepada bangsa Eropah khususnya dan juga bangsa Arab.Ibu-ibu Melayu lebih rela melengkap tubuh badan agar disaluti barang kemas atau membeli aksesori yang berjenama atau menambah koleksi barangan berjenama (ini mungkin satu tuduhan). Bila anak tak 'perform' mulalah menuduh tak fokus, tak guna teknik mengingat dengan betul dll. Kajian-kajian terkini juga mendapati bahawa kapasiti otak yang dibentuk oleh pemakanan sejak dalam bentuk janin memainkan peranan. Jadi tak hairanlah anak-anak Melayu yang ramai belajar di US ( tahun 80an) agak sukar menandingi bangsa mereka. Masyarakat Cina juga pada waktu makan banyak mengamalkan gizi berprotein tinggi pada waktu tengahari (masyarakat Melayu suka mengejek mereka makan babi) walhal masyarakat kita lebih banyak mengambil gizi berkarbohidrat tinggi.

Untuk tidak lebih melalut maka dimuatkan di bawah ini artikel tentang kehidupan Prof Ungku Aziz pada usia emas ini (87 tahun?).


Tak suka tetamu masuk rumah
Sembang Sabtu: Prof Diraja Ungku Aziz (BH: 02/04/2005)


"SAYA tahu anda akan datang pada waktunya." Itulah kata-kata Prof Diraja Ungku Aziz kepada penulis sebaik saja beliau keluar daripada pangsapurinya. Sebelum itu, Ungku Aziz atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Pak Ungku, meminta penulis menunggu di luar sementara beliau bersiap untuk ditemu bual seperti yang dijanjikan jam 12 tengah hari Isnin lalu.

Tokoh akademik yang terkenal dengan disiplin itu sememangnya amat sensitif dengan pematuhan masa. Beliau tidak akan teragak-agak menegur mereka yang tidak menepati masa.

"Di Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad), kalau orang datang lewat untuk mesyuarat saya akan keluarkan kata-kata pedas, selepas itu mereka tidak lewat lagi," kata Pak Ungku bangga.

Selepas mengunci pintu pangsapurinya, Pak Ungku mengisyaratkan tangannya yang memegang sebatang pena dan buku nota kecil ke arah lif.

"Kita ke kolam renang, di situ lebih selesa. Saya selalu jumpa tetamu di situ," kata Pak Ungku sambil memohon maaf dan menjelaskan beliau memang tidak menjemput tetamu masuk, melainkan saudara mara atau kenalan rapat.

Bagi penulis ruang luar pangsapuri Pak Ungku sudah cukup sesuai untuk menjadi tempat bicara. Di situ sudah tersedia dua kerusi dan meja kayu berukir selain pokok bunga yang menyamankan suasana. Di dinding pula tergantung empat lukisan abstrak, termasuk tiga yang bermotifkan pantun, koleksi isterinya, Syarifah Azah Aziz.

Hari itu Pak Ungku kelihatan ceria. Beliau begitu berminat melayan penulis walaupun tokoh sepertinya sudah acap kali ditemu bual wartawan. Mungkin kerana pengalaman penulis belajar di Quebec membuatkan Pak Ungku memberi layanan istimewa.

"Anda boleh berbahasa Perancis," soal Pak Ungku, seolah-olah beliau pula yang menemubual penulis.

"Saya hanya mengambil satu subjek bahasa Perancis dan mendapatinya begitu sukar kerana pensyarah tidak mahu langsung menggunakan bahasa Inggeris ketika mengajar," jawab penulis di antara memberi alasan dan mengadu mengenai kaedah pengajaran bahasa kepada bekas Naib Canselor Universiti Malaya itu.

"Saya boleh cakap Perancis. Saya pernah ke Quebec dan saya suka tempat itu," katanya berkongsi pengalaman berada di satu-satunya negeri bekas jajahan Perancis di Kanada.
"Kalau saya ke Jepun, saya cakap Jepun. Ketika perang saya belajar di Jepun selama tiga tahun. Saya ada dua bahasa lain, itu kelebihan yang baik. Lagipun bila anda tahu bahasa lain, minda anda lebih canggih," katanya menjelaskan betapa pentingnya seseorang itu menguasai banyak bahasa.

Memulakan bicara mengenai dirinya, Pak Ungku berkata, beliau amat mementingkan disiplin sehinggakan kegiatan kehidupan sehariannya dijadualkan.

"Ada masa bekerja, ada masa berfikir dan membaca serta bersantai, pembahagiannya amat jelas. Dalam hidup saya banyak yang tetap. Hari-hari begitu, saya tidak bosan, kehidupan saya amat sistematik," katanya.

Pak Ungku memulakan rutin hariannya dengan solat Subuh. Kemudian beliau akan membaca al-Quran dan mendengar kaset bacaan kitab suci itu bagi memperbaiki pembacaan dan penghayatannya.

"Saya baca al-Quran hari-hari. Selepas saya baca satu surah saya dengar kaset, ia menolong saya lebih faham. Saya juga ada lima buku tafsir dan saya boleh semak maknanya," katanya.

Selepas itu, Pak Ungku akan keluar bersenam dengan berjoging atau berjalan pantas di sekitar Seksyen 13 yang terletak tidak jauh daripada kawasan pangsapurinya. Sebagai seorang pemikir, waktu senaman kira-kira 50 minit itu dimanfaatkan dengan menghafal.

"Masa itu saya guna untuk berfikir atau menghafal, sama ada pantun atau apa benda dalam senarai saya nak hafal. Saya hafal dalam fikiran dan orang tak dengar. Saya fokus, naik bukit turun bukit, di situ ada dua. Kalau tak naik bukit, kita tak keluar peluh. Teori saya ialah kalau kita senaman mesti keluar peluh," katanya.

Sarapan Pak Ungku juga tidak terlepas daripada teorinya. Setiap pagi beliau akan makan empat biji kurma dan jambu air serta minum segelas besar air panas yang dicampur cuka organik.

"Saya cari kurma yang baik bukan sebarang kurma, dari Arab Saudi atau Iran... Kurma penuh khasiat mineral, vitamin dan serat. Saya minum air cuka, itulah orang gila," katanya.

Pak Ungku hanya akan keluar bertugas jika kehadiran beliau benar-benar diperlukan. Jika tidak beliau hanya bekerja dari rumah atau meneruskan kajiannya mengenai pantun Melayu.

Selain menjadi Yang Dipertua Angkasa, Pak Ungku juga Ahli Lembaga Pengarah KKUM dan Pengarah Plus. Beliau juga menjadi Pengerusi Azair, syarikat air milik keluarga.

"Sistem saya ialah tiga setiausaha hantar kepada saya beg mengandungi apa-apa dokumen yang perlu saya tandatangani atau saya hantar pemandu saya pergi ambil beg. Saya tak perlu pergi pejabat, saya baca dan telefon mereka," katanya sambil menambah sistem kerja sedemikian mengatasi kerenah birokrasi.

Seperti sarapan, sajian makan tengah hari Pak Ungku juga unik. Nasi hanya menjadi hidangan dua kali seminggu, manakala hari lainnya menu antarabangsa menjadi pilihan. Sayur mentah atau segar pula menjadi hidangan wajib setiap hari.

"Saya makan sushi, kuskus Turki atau Maghribi, roti prata dan macam-macam masakan antarabangsa. Azah suka dan pandai masak," katanya.

Selepas makan tengah hari, beliau berehat di antara 30 hingga 40 minit. Pak Ungku berkata, pada usia 83 tahun beliau perlu banyak berehat.

"Kalau nak tidur saya tidur. Saya tak ada masalah, kalau saya kata sekarang waktu tidur, lepas setengah jam saya jaga. Saya ada jam dalam kepala saya," katanya.

Pada sebelah petang jika tiada mesyuarat atau urusan kerja lain, Pak Ungku sekadar berada di rumah dan mengisi masa dengan melakukan perkara ringan seperti mendengar muzik atau menonton televisyen serta video.

"Saya tidak menulis atau baca benda berat-berat. Saya tonton siaran berita seperti BBC News dan TV1, saya cari apa yang ada," katanya.

Bagi Pak Ungku, mendengar muzik dan menonton filem adalah hiburan baginya selain membaca buku. Setiap minggu beliau akan membeli beberapa cakera padat dan cakera padat video terbaru.

Katanya, berbuat demikian bukan sekadar menambah koleksinya tetapi mempelajari perkembangan semasa dunia muzik dan filem.

"Saya ada banyak koleksi muzik dari Turki, Iraq dan Jerman, karya Mozart dan Beethoven, saya sudah kumpul sejak 40 hingga 50 tahun lalu.

"Kalau cucu saya kata hip-hop menarik, saya beli juga satu dua untuk dengar. Walaupun tak tertarik, saya mesti tahu sebab bila sudah berumur 83, kita tentu terputus dengan generasi muda," katanya.

Disiplin yang diterapkan dalam kehidupan sehariannya dibawa sehingga ke bilik tidur. Setiap hari, Pak Ungku akan tidur hampir tepat 12 tengah malam. Beliau tidur dalam keadaan gelap gelita.

"Kalau ada lagi program TV yang saya nak tonton, saya rakam. Kalau kita duduk tengok TV kadang-kadang terlanjur sampai jam 1 atau 2 pagi, ini tidak sihat.

"Hampir jam 12 tengah malam, saya tutup lampu. Masa tidur saya tak bawa buku, saya tidur dalam gelap sepenuhnya. Lima minit letak kepala atas bantal saya lelap. Saya jaga jam 5.30 atau 6 pagi.

"Saya fokus begitu, tak ramai orang suka kehidupan seperti itu tetapi saya cukup suka dengan apa yang saya buat," katanya mengakhiri temu bual 45 minit yang beliau tetapkan tempohnya itu.

Sebagai menguji prinsip Pak Ungku, penulis meminta kebenaran untuk mengambil gambar keadaan di dalam apartmen beliau, khususnya koleksi buku dan kerja pengumpulan pantun yang beliau sedang usahakan.

"Maaf, saya memang tidak menjemput orang masuk rumah," ulang Pak Ungku.

Bagaimanapun, beliau membenarkan kawasan luar apartmennya dirakam jurugambar.

Sebelum berpisah, penulis sempat bertanya kenapa beliau tidak benarkan kami masuk ke kediamannya dan Pak Ungku memberikan jawapan ringkas tetapi penuh makna: "Kalau anda masuk, anda tak mahu keluar."




p/s:-semoga boleh diambil pengajaran disini...

This entry was posted on April 2, 2009 at 6:24 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

8 comments

tahniah pada aku sebab berjaya baca artikel x bergambar ni smpi abes :P

April 2, 2009 at 11:24 PM

Rajin la mu ni.Soalan pertama aku jawab,aku belum lagi mengandung.Itu rumor semata.Bukan artis jer jd mangsa.Aku orang kebanyakan pun kena.Haahahahha!!Soalan kedua,bukan apartment yang aku duduk sekarang.Rumah kat tempat lain.Sebelah bukit jelutong.Huhuhuhu!!!

April 4, 2009 at 11:17 AM

nad->tahniah untuk anda hehe..

pinah->pahtu bila nak wat makang pree ni???haha

April 4, 2009 at 2:06 PM

Posting yang menarik dibaca,..

April 5, 2009 at 12:41 AM
Anonymous  

n3 yang menarik, bolehlah cuba gaya hidup pak ungku. Sihat itu kekayaan sebenarnya. Inginkan masa tua yang 'glory', insyaAllah.

November 18, 2009 at 10:31 PM

saya sangat kagum dengan proff...kalau ada artikel pasal proff mesti saya baca...kadang2 agak terpengaruh dengan cara hidup beliau...terutama dari segi pengurusan masa.

April 28, 2011 at 10:49 AM

Saya ni suka membaca jg satu hari sy terbaca biodata prof ungku aziz ni di library di sek sy terus sy amat mengkagumi beliau rutin hidupnya yg teratur dlm pelbagai perkara menjadikan beliau seorg yg berjaya dan dipanjangkan usia... tahniah utk beliau bab pemakanan tu sy setuju sgt cthnya kurma tu semasa sy mengandung anak kedua sembilan bulan sy makan kurma ajwa dan hasilnya bijak dan alhamdulillah cepat faham dlm usia 4 thn anak sy dh boleh berbahasa inggeris dan membaca surah2 yg asas alhamdulillah bab pemakanan tu sy setuju sgt kalau kitq x jaga pemakanan otak pn malas nak berfungsi dan berfikir dgn baik... tahniah atas perkongsian info ni...

December 17, 2016 at 3:31 PM

sama kitanya prof idola bg org yg ingin berjaya dan suksess dlm hidup

December 17, 2016 at 3:33 PM

Post a Comment